Di sini saya ingin kongsi pengalaman yang terjadi pada diri saya sendiri pada 2 minggu lepas dimana pada ketika itu saya menghadapi masalah saluran sinki tersumbat.
Pada awal masalah timbul, kerana ingin jimatkan duit saya membeli beberapa bahan pelarut kimia dari kedai hardware yang berhampiran dengan harapan dapat menyelesaikan saluran yang tersumbat. Bagaimanapun, setelah mencuba beberapa kali keadaan masih tidak berubah..isteri dah mula bising..nak masak dan buat kerja dapur dah susah..
Setelah hampir seminggu mencuba dan tidak juga berjaya maka saya ambil keputusan untuk panggil saja pakar dalam bidang ni. Masa itu teringat dalam peti surat banyak namecard syarikat yang ada menawarkan perkhidmatan memperbaiki saluran sinki yang tersumbat.
Semasa menelefon syarikat (Top Form) seperti di atas, seorang perempuan melayan dengan sungguh mesra sekali. Saya turut bertanya berapakah kos yang akan dikenakan sekiranya masalah berjaya diselesaikan dan juga berapakah kos jika tidak dapat diselesaikan. Bagaimanapun, beliau tidak memberitahu tetapi menyuruh saya bertanyakan kepada pekerjanya yang akan datang nanti.
Setelah hampir sejam menunggu, seorang lelaki menaiki van sampai dan memperkenalkan diri dari syarikat Top Form dan terus ke bahagian dapur tempat yang tersumbat. Saya sekali lagi bertanyakan kepadanya berapakah kos yang akan dikenakan tetapi pekerja itu masih tidak menjawabnya...mungkin agaknya sibuk dan tumpukan pada kerja yang sedang lakukan.
Setelah hampir sejam mencuba, pekerja tersebut memaklumkan bahawa masalah tidak dapat diselesaikan mungkin disebabkan saluran telah pecah. Setelah siap berkemas tiba-tiba pekerja tersebut meminta bayaran RM100 sebagai upah untuk kerja-kerja yang telah dilakukan.
Pada mulanya saya bertegas bahawa mana mungkin bayaran boleh dibuat kerana masalah tidak dapat diselesaikan. Keadaan makin tegang apabila pekerja tersebut makin meninggikan suara dan memperlekehkan beberapa tindakan saya.
Melihatkan keadaan yang semakin panas, isteri yang turut sama ada menasihatkan agar saya berikan sahaja RM100 seperti yang diminta.
*Buat sahabat-sahabat, saya harap apa yang terjadi pada diri saya ini jadikan panduan agar kita tidak lagi menjadi mangsa penipuan syarikat yang tidak bertanggungjawab. Nasihat saya, untuk memanggil 'tukang paip' boleh tetapi sebelum membenarkannya masuk ke rumah (pastikan masa tu masih diluar pagar) tanya sejelas-jelasnya semua kos yang terbabit. Kos yang dikenakan berpatutan (bawah RM200 jika masalah selesai) dan tiada apa-apa charge untuk kerja yang tidak boleh diselesaikan.
* Jika dilihat pada namecard juga tidak dinyatakan alamat operasi syarikat tersebut. Kenapa? Mungkin untuk mengelak daripada pelanggan kembali menuntut atau membuat complaint kepada syarikat terbabit.