Meriah dan Ceria..... itulah suasana yang dapat digambarkan ketika berlangsungnya Mini Karnival Penduduk 2010. Sambutan di luar jangkaan oleh warga LEP7 dan penduduk berhampiran menandakan program seperti ini memang ditunggu-tunggu. Kebanyakan peniaga yang menyertai turut memberi pujian sambil bertanya untuk menyertai program yang akan datang.
Jutaan terima kasih kepada Jabatan dan Agensi kerajaan yang turun padang memberikan khidmat kepada penduduk. Antara yang hadir ialah Jabatan Bomba & Penyelamat, Jabatan Pendaftaran Negara, Suruhanjaya Pilihanraya, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Keselamatan Jalanraya, Jabatan Kesihatan(Pusat Kesihatan Seri Kembangan) serta Pusat khidmat DUN Sri Serdang. Tidak lupa kepada Polis Diraja Malaysia yang meluluskan permit serta menghantar pasukan untuk memantau. Selain itu beberapa syarikat turut membuka kaunter perkhidmatan untuk kemudahan pengunjung. Antaranya ialah Tabung Haji, Amanah Ikhtiar Malaysia, Prudential BSN, Public Mutual dan Syarikat Pengurus Wasiat.
Kaunter urusetia/PPLEP7 juga mendapat kunjungan hebat apabila pengunjung berpusu-pusu membuat pendaftaran cabutan bertuah dan sebahagiannya mendaftar sebagai ahli baru serta membayar yuran bulanan.
Sebelum itu, Pengerusi Persatuan Penduduk En. Shahari Bin Jantan melalui ucapannya telah mengajak agar seluruh penduduk bersatu-padu dan bekerja sama demi keharmonian, keselamatan dan kemakmuran di Taman Lestari Putra Seksyen 7 khasnya. Beliau berharap agar seluruh penduduk LEP7 bersatu dibawah naungan PPEP7 supaya persatuan ini akan lebih mantap dan maju dalam menjaga kepentingan ahli serta penduduk.
InsyaAllah, program ini akan dijadikan aktiviti tahunan PPLEP7. Jumpa lagi di masa akan datang.