KEMPEN ANTI DENGGI 2011

Kempen Anti Denggi 2011 anjuran bersama PPLEP7 dan JKP19 MPSJ telah berjaya dijalankan pada Ahad, 27 Februari 2011 yang lalu di Taman Permainan Jalan LEP7/12. Program dimulakan pada jam 10.00pagi dengan ucapan ringkas oleh Ahli Majlis MPSJ, En. Norazam Aziz.

Dalam ucapan tersebut, beliau memaklumkan bahawa tujuan kempen ini dijalankan adalah untuk menyedarkan masyarakat setempat mengenai bahaya aedes dan denggi. Taman Lestari Putra Seksyen 7 dipilih sebagai lokasi pertama kerana terdapatnya laporan kes demam denggi berlaku di kawasan taman perumahan ini. Beliau berharap kempen anti denggi ini dapat diteruskan dan dijadikan aktiviti mingguan oleh penduduk agar kawasan perumahan sentiasa bersih dan bebas dari ancaman penyakit denggi.

Setelah ucapan selesai, penduduk beserta pegawai kesihatan MPSJ pergi melawat ke rumah Hj Norhashim di Jalan LEP7/5 untuk melihat dan memberi penerangan berkenaan kawasan-kawasan yang berpotensi untuk aedes membiak.

Selesai di rumah Hj Norhashim, penduduk dan pegawai kesihatan MPSJ telah melakukan pemeriksaan mengejut ke sebuah rumah di Jalan LEP7/11 yang mana dikhuatiri kawasan rumah tersebut menjadi sarang tempat pembiakan nyamuk aedes. Malangnya pagar rumah tersebut berkunci dan pemeriksaan tidak dapat dijalankan.

Jabatan Kesihatan MPSJ turut hadir dengan membuka ruang pameran berkaitan aedes dan denggi. Pelbagai risalah maklumat berkaitan penyakit ini diedarkan. Pengunjung juga diberikan racun jentik-jentik Abate 1.1%SG secara percuma.Semasa kehadiran Ahli Majlis, PPLEP7 turut mengambil kesempatan membawa beliau melawat beberapa kawasan yang bermasalah seperti kawasan buangan sampah haram di Jalan LEP 7/11, masalah tiada penyelenggraan longkang di Jalan LEP 7/2 dan masalah sampah pokok. Ahli Majlis telah berjanji untuk membawa semua masalah yang dibangkitkan ke pengetahuan MPSJ untuk tindakan susulan.



Program berakhir jam 1.00 tengahari dan disudahi dengan gotong-royong pembersihan di kawasan kempen.