RONDA MALAM : Antara Keselamatan dan Ukhwah

Rentetan dari beberapa kes kecurian yang berlaku pada waktu malam PPEP7 telah menghidupkan semula skim rondaan sukarela yag pernah diadakan pada tahun 2009. Dengan konsep yang sedikit berbeza di mana setiap sukarelawan dikehendaki mengambil giliran hanya sekali dalam sebulan. Berbanding konsep lama memerlukan pecahan kumpulan dilakukan mengikut zon, kini setiap kumpulan membuat rondaan meliputi seluruh kawasan LEP7.

Setakat ini lebih 150 orang penduduk telah menyertai dan tambahan penyertaan nampaknya terus meningkat. PPLEP7 amat berterima kasih di atas pengorbanan para sukarelawan kerana sanggup berbakti untuk menjaga ketenteraman LEP7 .

Program ini bukan sahaja mencapai tujuan untuk menjaga keselamatan malah hasil sampingannya ialah ukhwah dikalangan penduduk yang semakin baik. Sesetengah penduduk yang dulunya hanya mengangkat tangan bila berselisih dengan jirannya, kini mampu berbual mesra.



Bermula pada 15 Disember 2010, hingga kini rondaan telah dilakukan tanpa banyak masalah. Memang pernah ada ketidak-hadiran peronda, namun pengurusan PPLEP7 tidak dapat menghalang perkara yang agak subjektif ini. Tentunya mereka mempunyai alasan tersendiri atau ada hal peribadi yang tidak dapat dielakkan.

Setiap kumpulan yang diangotai antara 4 dan 5 orang akan melakukan rondaan bermotorsikal bermula jam 2 pagi hingga 5 pagi. Sebelum memulakan rondaan mereka akan berkumpul di Surau Al-Mustaqim sambil membuat minuman sebagai pemanis mulut dan penyegar mata diawal pagi. Bahan-bahan minuman serta biskut telah disediakan oleh Tok Siak Surau Al-Mustaqim hasil sumbangan dari para jemaah dan tabung PPLEP7.



Aktiviti amal ini nampaknya telah mendatangkan hasil kerana sejak ia dijalankan tiada berlaku kes rompakan pada waktu rondaan dijalankan. Namun begitu semua penduduk dinasihatkan agar terus memastikan keselamatan rumah dan keluarga masing-masing kerana rondaan sukarela ini tidak menjamin 100% dapat mengelakkan rompakan. Jalan masuk ke LEP7 yang terlalu banyak termasuk dari kawasan hutan simpan agak menyukarkan pemantauan.

Untuk pengetahuan penduduk, pada 2 Januari yang lalu telah berlaku satu rompakan di kejiranan kita (LEP4) di mana empat perompak berbahasa Indonesia telah memecah masuk rumah ketika penghuni sedang nyenyak tidur. Kejadian yang berlaku di awal pagi menyebabkan kehilangan wang dan barang berharga yang dianggarkan berjumlah RM20,000.00. Kejadian seperti itu bukan saja menyebabkan kerugian malah pastinya meninggalkan trauma kepada mangsa.


Tempat kita tidak ketinggalan dijengah perompak apabila sebuah rumah di jalan LEP7/22 telah dipecah masuk pada hari Jumaat 7/1/2011. Mangsa yang keluar berkerja seawal jam 8 pagi hanya menyedari rumahnya dipecah masuk setelah pulang pada jam 11 malam pada hari tersebut. Kehilangan berupa wang tunai dan barang berharga namun jumlah kerugian tidak diberitahu dan laporan polis telah dibuat.

Penduduk diingatkan agar lebih berwaspada pada siang hari kerana perompak yang mungkin tahu kewujudan ronda malam telah cuba menghidu peluang pada waktu siang. Terutamanya kepada suri rumah yang aktif keluar masuk menguruskan anak-anak sekolah dan sebagainya. Pastikan keadaan selamat dan tiada sesiapa yang mencurigakan berada berhampiran sebelum membuka pintu jeriji atau pagar rumah.


Untuk makluman, PPLEP7 sentiasa berhubung dengan pihak polis melalui program 'Community Policing' yang diujudkan PDRM di mana SU kita En. Mohd Ali Ismail sebagai wakil kawasan untuk bermesyuarat dan membuat laporan setiap bulan. Kewujudan 'Ronda Malam' juga telah dimaklumkan kepada pihak polis bagi mengelakkan kekeliruan ketika kereta peronda masuk untuk memantau kawasan kita di awal pagi.

Pembabitan penduduk amat diperlukan, bukan sahaja untuk meronda malah memberi bantuan dalam bentuk lain juga dialu-alukan. Sesiapa berminat untuk menyertai bolehlah terus berhubung dengan Ketua Biro Keselamatan atau Pengerusi PPLEP7. Pendaftaran secara online juga boleh dibuat di laman web PPLEP7.



Penambahan penyertaan adalah perlu bagi menambah kekuatan dan keupayaan setiap kumpulan. Jumlah ahli ronda sedia ada hanyalah 20% dari jumlah penduduk keseluruhan yang mempunyai kepadatan hampir 800 buah keluarga. Sekiranya semua penduduk keluar menyertai, nescaya kekerapan giliran rondaan dapat dikurangkan. Mungkin kepada hanya sekali sahaja bagi setiap 3 bulan . Namun begitu kesibukan yang teramat mungkin menjadi penghalang mereka untuk meluangkan masa bersama-sama menjaga keselamatan dan ketenteraman. Selama 3 jam setiap bulan, itulah masa yang perlu dikorbankan untuk meronda. Hasilnya bukan sahaja keselamatan dan ketenteraman, malahan dapat meningkatkan ukhwah di kalangan penduduk.