SKTDM : SEKOLAH BERMULA PINTU PAGAR BERKUNCI?

Alhamdulillah, setelah lebih lima tahun menunggu akhirnya Sekolah Kebangsaan Taman Desaminium dibuka untuk sesi persekolahan tahun 2011. Terima kasih kepada guru-guru yang bertungkus lumus membuat persiapan untuk memulakan sesi persekolahan di sekolah yang baru.

  




Pertanyaan berulang-kali tentang beberapa perkara yang sama oleh ibu-bapa mungkin merimaskan guru-guru dan pegawai yang ditugaskan untuk membuat persiapan. Namun itulah yang harus dilalui kerana tiada informasi tepat berkenaan pembukaan sekolah ini dinyatakan oleh Jabatan yang berkenaan. Keputusan pada saat-saat akhir juga menjadi faktor kekalutan dimana ramai ibu-bapa yang tidak tahu berkenaan pembukaan sekolah ini.

Hari suai-kenal yang dijalankan pada hari Jumaat 31 Januari 2010, mungkin melegakan Ibu-bapa yang telah membuat pengesahan dan pendaftaran. Namun begitu ada beberapa perkara berkenaan prasarana sekolah telah memberi tanda tanya kepada mereka terutamanya jalan utama kesekolah tersebut yang masih belum disiapkan.

0.5km

Untuk memulakan sesi persekolahan ini, murid sekolah rendah terpaksa berjalan kaki sejauh lebih kurang setengah kilometer untuk sampai ke kelas melalui pintu utama sekolah menengah yang dibina bersebelahan. Tambahan pula tiada tempat menunggu berbumbung disediakan untuk murid-murid berteduh ketika menunggu ibu-bapa atau bas sekolah ketika pulang. Perkara ini pasti akan menyukarkan keadaan terutamanya ketika hari hujan.

Kenapa jalan masuk tidak disiapkan sedangkan kerja-kerja pembinaan sekolah ini telah mengambil masa yang terlalu lama? Disebabkan tiada maklumat yang diberikan, maka bermacam-macam spekulasi telah diberikan oleh para ibu-bapa terhadap pihak-pihak berkaitan yang bertanggung jawab terhadap pembinaan sekolah ini.

Diharap pihak Kementerian Pendidikan mengambil berat berkenaan perkara ini dan memastikan segala prasarana yang penting disiapkan sepenuhnya. Bukan sahaja untuk kemudahan malah bagi memastikan keselamatan pelajar terpelihara ketika pergi dan pulang dari sekolah.

“Kami faham dengan kekalutan guru-guru membuat persiapan kerana ini sekolah baru, tetapi kami tak faham kenapa jalan utama belum disiapkan lagi” keluhan yang diberikan oleh salah seorang bapa yang datang menghantar anak pada hari suai-kenal.

Alasan sekolah baru yang diguna pakai untuk menepis soalan-soalan yang diajukan adalah tidak relevan. Pihak Kementerian Pendidikan perlu peka dan sedia maklum tentang kebarangkalian yang akan berlaku. Sekiranya persediaan dibuat lebih awal, pasti ia akan memudahkan semua pihak terutama guru-guru yang akan memulakan tugas penting di dalam kelas.


Selain masalah jalan masuk utama, bahan-bahan binaan yang ditinggalkan kontraktor juga boleh mendatangkan musibah. Terutama pada musim hujan di mana Aedes boleh membiak dengan cepat ditempat air bertakung.






Diharap semua pihak berwajib mengambil tindakan terhadap perkara-perkara berbangkit dengan segera terutama Kementerian Pendidikan yang telah mengarahkan pembukaan sekolah ini dan JKR yang menguruskan pembinaannya. Keselesaan serta keselamatan pelajar adalah penting agar mereka dapat memberi tumpuan kepada pelajaran dan yang lebih utama agar guru-guru tidak dibebani oleh komitmen pengurusan selain memberi tumpuan untuk mengajar dengan penuh dedikasi.