Pasukan Tiger FC Juara

Ahad, 26 Disember 2010 :
Tahniah kepada Pasukan Tiger FC kerana menjuarai pertandingan bolasepak 7 sebelah anjuran Masjid Al-Muttaqin dan Surau Al-Munir yang diadakan di padang bolasepak Taman Equine. Tiger FC adalah salah sebuah pasukan yang mewakili LEPSEVEN FC dalam pertandingan tersebut.

Dalam kejohanan itu sebanyak 10 pasukan telah bertanding bagi kategori bawah 12 tahun manakala 6 pasukan bertanding bagi kategori bawah 17 tahun.

Lepseven FC telah menghantar 3 pasukan di mana Tiger FC dan Eagle FC bertarung untuk kategori bawah 12 tahun manakala Lion FC mewakili skuad bawah 17 tahun.

Pada perlawanan akhir kategori bawah 12 tahun, Tiger FC telah menumpaskan Sri Indah FC 3-2 melalui jaringan sepak penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 0-0 sehingga wisel penamat.

Penyerang skuad Tiger FC, adik Muhammad Al-Diniy Al-Shafiee telah dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan dan penjaring terbanyak.


Tahniah juga kepada Eagle FC dan Lion FC kerana telah bertarung bersungguh-sungguh dan menunjukkan prestasi yang menggalakkan.

PPLEP7 amat berterima kasih di atas kegigihan jurulatih En. Azlan dan En.Shakir membimbing anak-anak lepseven hingga dapat membentuk pasukan yang mampu bersaing dalam kejohanan seperti ini. Tidak lupa juga kepada Ketua biro Sukan dan rekreasi En.Zaharudin yang sentiasa memantau dan berusaha untuk meningkatkan prestasi Lepseven FC.
  


InsyaAllah, PPLEP7 akan cuba untuk menganjurkan pertandingan seumpama ini pada tahun hadapan.  Kami sedang mencari dana untuk memperbaiki keadaan padang Lepseven FC yang masih tidak mencukupi syarat sebagai gelanggang bolasepak.

Syarikat atau individu yang mempunyai idea atau saluran tertentu untuk mendapatkan dana tersebut diminta tampil membantu. Sila berhubung dengan Ketua Biro Sukan dan Rekreasi atau Pengerusi PPLEP7 untuk menyalurkan bantuan dan idea.