Program " Kem Motivasi Solat"

Buat julung kalinya Surau Al-Mustaqim dan PPLEP7 telah mengadakan program Kem Motivasi Solat yang disertai oleh peserta yang terdiri dari anak-anak berumur antara 7 hingga 15 tahun. Program yang telah dirancang sejak beberapa bulan yang lalu telah berjalan dengan lancar mengikut jadual yang diatur.

Sambutan hangat penyertaan menyebabkan jumlah peserta yang pada mulanya dihadkan kepada 80 orang telah meningkat kepada 125 orang menjelang hari program. Namun begitu pihak penganjur tidak menghadapi masalah untuk menerima lebihan penyertaan itu kerana kerana telah bersedia dengan pelan perlaksanaan dengan disokong oleh barisan ahli-jawatankuasa yang sangat komited. Majoriti peserta adalah terdiri dari anak-anak Taman Lestari Putra Seksyen 7 dan ada juga beberapa penyertaan dari taman berhampiran.


Sabtu 18 Disember 2010
Pendaftaran bermula jam 1.30ptg. menyaksikan pelbagai gelagat anak-anak yang semuanya kelihatan gembira dan teruja terutama apabila melihat khemah-khemah penginapan yang telah disusun rapi



Ucapan perasmian oleh Nazir Masjid Al-Muttaqin, Yang berbahagia En Zainal Abdin Ab. Manaf pada jam 3ptg. Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada pihak penganjur kerana mengambil langkah berani untuk menganjurkan program sebegini. Tambahnya, program ini bukan sahaja baik untuk menambah ilmu pengetahuan malah menjadi pengalaman berguna kepada anak2 yang menyertainya.


Jam 3.15 petang, Ustaz Anuar mengambil tempat untuk memulakan sesi pertama kuliah dengan menerangkan tentang konsep, tuntutan dan kewajipan solat kepada seorang Islam.

Sesudah solat Asar, anak-anak dijamu dengan minum petang sebelum memulakan program riadah berbentuk ‘Mini Treasure Hunt’ mencari benda tersembunyi di sekitar kawasan surau. Acara yang dikendali oleh Saudara Ahmad Shakir, Sdra Badrul, Ustazah Asiah, Ustazah Rogayah dan Pn. Rubiah sedikit sebanyak memberi pendedahan tentang kerjasama dalam kumpulan. Selesai beriadah mereka disajikan makan malam sebelum bersiap untuk solat Maghrib

Sesi Malam bermula selepas solat Maghrib, apabila Ustaz Mohd Reza Kamarudin dari Masjid Al-Muttaqin (Pen. Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Kariah Taman Equine) memulakan bicara. Ceramah yang bertajuk “Solat Pembina Generasi Cemerlang” mendapat perhatian khusus oleh anak-anak apabila Ustaz Mohd Reza bijak menarik perhatian mereka.

Sesi ‘Fiqhul Solah’ oleh ustaz Mohd Annuar bermula selepas solat Isyak memberi penekanan tentang syarat-syarat sah dan rukun solat.


Lebih kurang jam 10.45 mlm, anak-anak dihidangkan minum malam sebelum masuk tidur di khemah masing-masing.

Ahad 19 Disember 2010

Jam 12 malam semua peserta diarahkan masuk ke dalam khemah masing-masing untuk tidur bagi mendapatkan rehat secukupnya kerana mereka perlu bangun untuk Qiamullail diawal pagi. Beberapa ketika setelah mereka cuba melelapkan mata, seorang demi seorang mula keluar dari khemah dengan alasan masing-masing. Ada yang ke tandas, minum air dan pelbagai lagi. Keadaan hangat di dalam khemah menyebabkan mereka menjadi kurang selesa. Kebanyakan dari mereka yang selalunya tidur di dalam bilik berhawa dingin beralaskan tilam empuk 10 inci, merungut tidak selesa.

Jam 2.00pagi, masih ramai peserta lelaki yang belum tidur. Suasana perkhemahan dan pengalaman pertama mereka tidur tanpa ibu-bapa menyebabkan mereka teruja dan sukar untuk melelapkan mata. Saudara Syukri mengambil langkah bijak apabila mengajak anak-anak yang belum dapat melelapkan mata untuk mendengar kisah-kisah Rasullullah S.A.W dan para Sahabat A.S yang dibacanya.


Jam 4 pagi, semua peserta diarahkan bangun untuk Qiamullail. Dipimpin oleh Ustaz Dr. Adi Yasran, pelbagai gelagat anak-anak kelihatan. Rasa mengantuk menyebabkan ada yang terlena ketika berzikir. Inilah pengalaman-pengalaman berguna yang sedikit sebanyak akan menjadi tauladan dalam hidup mereka. Kuliyyah Subuh dikendali oleh Ustaz Dr. Adi Yasran selepas solat.

Jam 7.00pagi mereka diajak untuk membuat senaman ringan di perkarangan surau sebelum dihidangkan sarapan pagi dan bersiap untuk sesi kuliah seterusnya.

Jam 9 pagi, sesi terakhir bermula. ‘Praktikal Solat’ dipimpin oleh Ustaz Annuar dan Ustaz Dr. Adi Yasran dibantu oleh fasilitator-fasilitator yang dilantik telah memberi penekanan tentang solat secara praktikal. Mereka disajikan dengan minum pagi pada jam 10.15 pagi sebelum sesi praktikal solat disambung semula.


Di akhir sesi semua peserta telah diberikan sijil penyertaan dan ucapan penutup oleh pengarah program En. Abu Salim Din. Mereka telah dihidangkan makan tengahari selepas solat Zohor sebelum majlis tamat pada jam 2 petang.

Alhamdulillah, pihak penganjur juga ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung terutamanya kepada fasilitator- fasilitator yang dilantik, para penyumbang (idea, tenaga dan wang ringgit), para ibu-bapa dan anak-anak yang sama-sama menjayakan program ini.


Segala kelemahan yang berlaku amatlah dikesali dan InsyaAllah akan diperbaiki di program-program seumpamanya dimasa akan datang.


Klik link di bawah utk melihat gambar-gambar program :
Album Kem Motivasi Solat 1Album Kem Motivasi Solat 2

Album Kem Motivasi Solat 3